
Sudah, selesai, malam/pagi yang gilang gemilang itu. Buat aku, Academy Award ke-80 antara yang terbaik dari segi pemilihan pemenang. Dan untuk No Country For Old Men memenangi filem terbaik, sudah tiba masanya filem-filem besar yang tak mungkin mengikut penggayaan 'safe zone' Hollywood (dahulu seperti 2001, The Conversation, The Graduate, Chinatown, Blue Velvet, Raging Bull, Taxi Driver, Dog Day Afternoon, Apocolypse Now, dll.) mempunyai peluang yang lebih besar untuk memenangi filem terbaik. Di dalam sejarah Academy Awards, sangat jarang untuk kita ketemu filem yang mempunyai suara akhir yang fatalis dan pesimis. Hanya beberapa seperti The French Connection, Platoon dan Midnight Cowboy yang diberi peluang. Itu pun pendirian humanis dan protoganisnya masih mempunyai 'upper hand' terhadap alam hitam yang ditentang. Adakah filem segelap Donnie Darko juga mungkin akan diberi peluang memenangi filem terbaik Academy Awards nanti? Atonement(2007) Antara kesemua filem (kecuali There Will Be Blood) yang aku sudah tonton untuk filem terbaik Oskar, aku terpaksa mengaku, filem ini bolehlar menjadi filem kegemaran aku. Atonement sebenarnya sebuah filem senang, dan kadang kala mengambil masa pada awal 30 minitnya. Filemnya bercerita tentang seorang budak perempuan bernama Briony Tallis yang 'cemburu', dan kerana kecemburuannya, mengakibatkan dosa yang paling halus dalam sejarah manusia tetapi setua dunia: memisahkan dua insan yang hangat bercinta. Kuasa Atonement dibuka dengan runut bunyi yang mengasyikkan. Campuran ketukan mesin taip dan lagu membawa emosi filem terhadap hati Briony (detik hentakan mesin taip ialah degupan jantung, juga degupan rancangan dalam kepala Briony)- tidak pernah satu inovasi sebegini mempamerkan isi hati kebenaran sebuah watak dengan sekreatif ini. Tempo mesin taip ini juga menggerakkan penonton (kita sedar akan gerakannya berupa hentakan tarian Amerika Selatan, maka kita sedar semangat romantisnya, dan juga semangat terujanya untuk bergerak dan bergerak 'mencari'). Filem ini juga mempunyai gaya POV Rashomon dan paling dekat, The English Patient (ya, antara filem kegemaran aku) terhadap tiga watak, Briony, kakaknya Ceccilia (lakonan memberangsangkan Keira Knightly) dan Robbie Turner (lakonan simpatik dan penuh perasaan James McAvoy). Jika dalam The English Pateint, filem membawa POV watak masing-masing secara mengimbau masa lalu. Di dalam filem ini, ia berlaku sewaktu peristiwa itu berjalan. Tetapi kita sedar, pada akhir filem ini, peristiwa-peristiwa itu juga sebenarnya rakaman Briony di dalam bukunya. Di sini, dan kerana babak ini, filem ini membentuk satu cabaran terhadap penonton. Adakah yang selama ini kita tonton itu 'benar' atau sebenarnya hanya mainan kepala Briony untuk melariskan novelnya? Benarkah kesemua yang kita sudah tonton itu benar-benar berlaku? Dan adakah kerana permainan kelainan POV ini, sekurang-kurangnya Briony 'tidak prejudis' lalu mengkotakan dirinya untuk "menceritakan yang sebenar-benarnya" kerana mengangkat suara kakaknya serta kekasihnya ke dalam 'cerita'nya lalu memberi peluang kepada pembaca/penonton menghukumnya? Sisi kebenaran ini yang sangat memikat, membawa persoalan, apakah seni dan kebenaran itu satu tujuan mereka-reka produk ilusi buat penulis untuk menangkap kebenaran manusiawi? Tempo, lukisan dan lakonan. Semuanya berkesan dalam filem ini. Sebuah filem yang perlu dirayakan buat pasangan kekasih. Dirayakan untuk mengenal kepentingan hidup dan pilihan. Sebuah filem bukan untuk aku.
No comments:
Post a Comment