Thursday, March 6, 2008

Feminisme....



Baru - baru ni ada kawan aku membuatkan runsing sikit mengenai feminisme dalam filem.Aku terus mencari buku atau rujukan pasal feminisme.Aku jumpa tajuk buku itu ialah ‘The Feminine Mystique’ itu jumpa kedai lama kat area petaling street.Apa yang aku dah tahu dan aku rasa Feminisme adalah berkaitan number of social,cultural dan political movements dan ada juga teori dan moral philosophies yang melibatkan sama rata dengan lelaki.
Untuk feminisme dalam filem kita berbalik kepada maksud feminisme itu sendiri dan ia ada 3 wave.Semasa wave kedua wanita sudah mempunyai pelajaran dan pendidikan jadik pada wave kedua ini wanita sudah mula menjinak - jinak dalam filem.
Kesimpulannya filem yang berunsurkan feminisme adalah cerita yang berkaitan tentang penindasan terhadadap kaum hawa.

Filem Melayu akan datang ...


Wah, tahun ni hebat! Hebat kan? Dengan permulaan Kala Malam Bulan Mengambang(2008), aku sangat teruja akan senarai filem yang akan ditayangkan, walaupun ada beberapa yang 'biasa', ia tidak menafikan kemasukan pelbagai filem bagus tahun ini. Walaupun begitu, aku terdengar juga beberapa filem yang 'tersandung di tengah jalan' oleh kerana masalah-masalah kontreversi yang diutarakan. Ya, kita belum plural lagi dan mungkinkah itu sebuah rahmat?.
Aku dengar bahawa Antoo Fighters(2008) adalah sebuah filem yang patut ditunggu-tunggu kerana efek CGInya sangat mencengkamkan. Aku harap, jalan ceritanya juga bagus, walaupun ia mungkin satu tiruan terhadap Ghostbusters(1983).
Aku juga dengar bahawa Cicakman 2(2008) akan ditayangkan tahun ini. Adakah KRU boleh mencapai pecah panggung yang mereka kecapi seperti beberapa tahun lepas? Ya, ini bukan cawan teh aku tetapi aku tetap menunggu ketibaannya.
Susuk(2008) akan sampai juga ke Malaysia tahun ini. Dengar berita, penggambaran ceritanya separuh macam teknik cerekarama maka kerana itu, filem ini bermasalah. Aku tak tahu bagaimana dengan ceritanya tetapi aku mempunyai harapan yang tinggi kerana ini kerja Amir Muhammad. Kalaupun ia 'pastiche', ia kerja Amir Muhammad maka 'pastiche'nya tentu bererti. Aku tak peduli dengan kecerekaramaan cerita (rujuk Dunia Baru The Movie) tetapi psikologi imej yang mengangkat efek seram cerita. Itu yang patut aku tunggu.
Mualaf(2008) dengarnya tidak akan ditayangkan. Betul ke? Aku dengar, sebab posternya tampak Armani memakai seakan seorang rahib (sekali lagi, tuduhan terhadap Kak Min sebagai pluralis dan pencemar budaya)- satu imej rujukan terhadap Audrey Hepburn dalam The Nun's Story (Kak Min sendiri mengaku, Armani ialah Hepburnnya) serta rujukan filem ini terhadap Black Narcissus. Mungkin kesalahan Kak Min bagi para moralis tempatan ialah filem kristian tidak boleh dijadikan rujukan buat filem 'agama' tempatan (tidak, mereka tidak akan faham uniti simbolisme dalam 'sarwajagat ketiga' mata penonton, dan ya, Black Narcissus bukan sebenar-benarnya filem dakwah), walaupun tudung Audrey pakai memang cantik. Kalau The Messenger atau Lion of the Dessert, mungkin boleh. Aku dah tonton Mualaf. Bagi aku, filem ini sebuah filem biru buat pencinta agama (a blue film for religionist). Tak, ini bukan filem lucah! Filem ini menaikkan 'nafsu riak' bagi mana-mana cendiakawan agama yang ingin melihat proses pergolakan, pelarian, dan transformasi atas nama 'agama'. Dan, ya, ia terbuka kepada satu pendebatan. Ada satu rasional yang anda kena faham bila menonton filem ini, iaitu latar keluarga adik-beradik Syarifah itu dan dinamisme yang terbentuk kerananya (rujuk: mereka tidak ada ibu yang mengajar mereka agama dan mereka belajar sendiri agama Islam selepas kematian ibu mereka). Jika anda sudah melangkau pemasalahan ini, filem ini tidak punya masalah buat anda dari segi kefahaman Islam (anda akan sedar kenapa idea-idea yang diutarakan sedikit 'meracau' dan sedikit provokasi dan sudah menitik ke 'dakwah' tetapi tetap memberi masa untuk kita 'membalas'). Aku tak suka lakonan Brian Yap (Saharil suka gila). Papan sangat. Hanya adik-beradik Syarifah itu saja yang benar-benar mengangkat filem ini. Dan ada sebuah adegan yang aku benci betul (watak pengetua paderi dan tok imam, aku sangat-sangat tak suka, macam pelekat stiker je), satu babak yang sangat 'main-main' selepas ayah adik-beradik Syarifah itu datang mencari di sekolah. Tetapi filem ini juga filem yang bersejarah. Terdapat satu babak yang aku takkan lupa sampai bila-bila, ia perlahan, lembut tetapi keras dalam imej ketelanjangannya. Dan aku tidak berutus dalam kiasan.
Congkak(2008) masuk tahun ni dan aku diberitahu Congkak lebih menakutkan dari Jangan Pandang Berlakang(2007). Aku berharap, moga-moga begitu.
Dukun juga dikatakan tidak akan ditayangkan tahun ini. Rata-rata yang sudah menontonnya mengatakan ia sangat-sangat baik. Aku juga berkata begitu walaupun aku belum tonton. Geram betul aku kerana hanya beberapa pihak yang 'tak setuju' filem itu ditayangkan, filem itu ditahan sampai sekarang, bukan atas nama seni, tetapi kuasa orang? Tanah Melayu ialah negara yang sangat berbudi-bahasa.
Histeria(2008) juga dikatakan sangat bagus. Aku berharap-harap sangat filem ini tidak akan diganggu satu adegan pun supaya kita dapat lihat visi sebenar James Lee. Jangan seperti Fantasia (nama pun fantasi!) sudah! Kalau ya, harap-harap para produser simpan babak-babak kontreversi supaya boleh ditayangkan di dunia luar sebagai 'the true version' atau 'the version you havent seen'. Atau, kita tunggu 10 tahun terkemudian bila Histeria menjadi sebuah lagi filem 'Holy Grail' yang perlu dicari dan dicantum-cantumkan supaya melihat kebenaran masterpiecenya.

haa....siapa nak join.....meh baca.....


Sudah, selesai, malam/pagi yang gilang gemilang itu. Buat aku, Academy Award ke-80 antara yang terbaik dari segi pemilihan pemenang. Dan untuk No Country For Old Men memenangi filem terbaik, sudah tiba masanya filem-filem besar yang tak mungkin mengikut penggayaan 'safe zone' Hollywood (dahulu seperti 2001, The Conversation, The Graduate, Chinatown, Blue Velvet, Raging Bull, Taxi Driver, Dog Day Afternoon, Apocolypse Now, dll.) mempunyai peluang yang lebih besar untuk memenangi filem terbaik. Di dalam sejarah Academy Awards, sangat jarang untuk kita ketemu filem yang mempunyai suara akhir yang fatalis dan pesimis. Hanya beberapa seperti The French Connection, Platoon dan Midnight Cowboy yang diberi peluang. Itu pun pendirian humanis dan protoganisnya masih mempunyai 'upper hand' terhadap alam hitam yang ditentang. Adakah filem segelap Donnie Darko juga mungkin akan diberi peluang memenangi filem terbaik Academy Awards nanti? Atonement(2007) Antara kesemua filem (kecuali There Will Be Blood) yang aku sudah tonton untuk filem terbaik Oskar, aku terpaksa mengaku, filem ini bolehlar menjadi filem kegemaran aku. Atonement sebenarnya sebuah filem senang, dan kadang kala mengambil masa pada awal 30 minitnya. Filemnya bercerita tentang seorang budak perempuan bernama Briony Tallis yang 'cemburu', dan kerana kecemburuannya, mengakibatkan dosa yang paling halus dalam sejarah manusia tetapi setua dunia: memisahkan dua insan yang hangat bercinta. Kuasa Atonement dibuka dengan runut bunyi yang mengasyikkan. Campuran ketukan mesin taip dan lagu membawa emosi filem terhadap hati Briony (detik hentakan mesin taip ialah degupan jantung, juga degupan rancangan dalam kepala Briony)- tidak pernah satu inovasi sebegini mempamerkan isi hati kebenaran sebuah watak dengan sekreatif ini. Tempo mesin taip ini juga menggerakkan penonton (kita sedar akan gerakannya berupa hentakan tarian Amerika Selatan, maka kita sedar semangat romantisnya, dan juga semangat terujanya untuk bergerak dan bergerak 'mencari'). Filem ini juga mempunyai gaya POV Rashomon dan paling dekat, The English Patient (ya, antara filem kegemaran aku) terhadap tiga watak, Briony, kakaknya Ceccilia (lakonan memberangsangkan Keira Knightly) dan Robbie Turner (lakonan simpatik dan penuh perasaan James McAvoy). Jika dalam The English Pateint, filem membawa POV watak masing-masing secara mengimbau masa lalu. Di dalam filem ini, ia berlaku sewaktu peristiwa itu berjalan. Tetapi kita sedar, pada akhir filem ini, peristiwa-peristiwa itu juga sebenarnya rakaman Briony di dalam bukunya. Di sini, dan kerana babak ini, filem ini membentuk satu cabaran terhadap penonton. Adakah yang selama ini kita tonton itu 'benar' atau sebenarnya hanya mainan kepala Briony untuk melariskan novelnya? Benarkah kesemua yang kita sudah tonton itu benar-benar berlaku? Dan adakah kerana permainan kelainan POV ini, sekurang-kurangnya Briony 'tidak prejudis' lalu mengkotakan dirinya untuk "menceritakan yang sebenar-benarnya" kerana mengangkat suara kakaknya serta kekasihnya ke dalam 'cerita'nya lalu memberi peluang kepada pembaca/penonton menghukumnya? Sisi kebenaran ini yang sangat memikat, membawa persoalan, apakah seni dan kebenaran itu satu tujuan mereka-reka produk ilusi buat penulis untuk menangkap kebenaran manusiawi? Tempo, lukisan dan lakonan. Semuanya berkesan dalam filem ini. Sebuah filem yang perlu dirayakan buat pasangan kekasih. Dirayakan untuk mengenal kepentingan hidup dan pilihan. Sebuah filem bukan untuk aku.