Thursday, May 31, 2007

Filem Cinta


Filem Malaysia konvensional sudah berjalan sangat-sangat jauh untuk tiba ke sini, dan apabila ia tiba, ia tiba dengan satu dendam dan nikmat yang sungguh memikat. Aku selalunya tidak suka pada filem romantik, lebih-lebih lagi dalam idealisme asyik-mahsyuk dan 'fairy tale' seperti yang kita lihat dalam My Heart. "Cinta", adalah sebuah filem romantik, tetapi ada sesuatu dalam Cinta yang tidak dapat aku tulis sahaja untuk menjustifikasikan ekspresinya. Mungkin satu perkataan sahaja- ajaib. Ya, inilah filem 'cinta' yang kita tunggu-tunggu, malah aku berani berkata, inilah jawapan kita kepada filem-filem romantik Indonesia yang selalu saja mendarat ke bumi kita. Mungkin ajaibnya filem ini adalah, sakti yang selalu turun kepada Cinderella, Snow white dan Sleeping Beauty dalam mereka memenuhi cinta adalah benda-benda ajaib dan di luar kesanggupan manusiawi- dan inilah kehebatan Cinta, di mana idea 'sakti' ini diubah dengan penyanggupan di luar kemampuan Majnun atau Romeo itu dicurahkan kepada si Layla atau Julietnya (sikap yang serupa diambil oleh Amelie'), melangsungkan efek-efek manusiawi yang tinggi dan mungkin tidak sanggup dibuat dek orang biasa, hanya kerana cinta. Dan dalam segala sakti itu, ada satu kepentingan yang berjaya diangkat dan disulam cantik oleh pengarah mudanya, Kabir Bhatia, dia tidak lupa akan manusia-manusianya (Kalau diteliti betul-betul, hanya manusia-manusia yang punya jiwa, kemanusiaan dan 'cinta' terhadap semanusia sendiri dipaparkan dengan sepenuhnya dalam filem ini. watak-watak yang tidak akan melangsungkan ikatan atau pertalian manusia dengan watak, akan di'pudar'kan. Dan dengan genius, dengan sengaja, pengarahnya mengambil seorang pelakon bodoh untuk melakonkan watak si Khalif yang tidak menggambarkan cinta, hanya untuk memperkuatkan idea ini- nota fadz: secara seloroh, kalau kamu tak berhati-perut, kamulah pelakon yang bodoh dalam dunia ni). Cinta adalah sebuah filem romantik komedi 'himpunan para pelakon' yang sama tradisinya dengan Love Actually dan drama Crash di mana himpunan pelakon ini akan secara sengaja atau tidak, akan berkait, berjumpa dan saling mempengaruhi antara satu sama lain. Idea ini bernas, memaparkan dalam dunia penuh besar (KL), ia masih sebesar kampung sahaja dan saling jumpa-menjumpa seperti 6 Degrees of Seperation, idea yang biasa berlaku dalam mana-mana filem soap opera. Dan dalam Cinta, Kabir Bhatia harus diberi tepukan gemuruh kerana berjaya menghimpunkan para pelakon yang sempurna.

No comments: